← Back Published on

Bahaya Pencemaran Sisa Toksik Terhadap Manusia dan Ekosistem.

ARTIKEL

Sedarkah anda bahawa isu pencemaran sisa toksik bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia ini? Namun apakah punca yang membawa kepada berlakunya isu ini? Secara mudahnya, punca bagi isu ini tidak lain tidak bukan disebabkan oleh tangan manusia itu sendiri yang tidak tahu menghargai keindahan alam sekitar yang telah diciptakan oleh Ilahi.

Antara punca yang selalu diutarakan adalah pembuangan sisa toksik daripada kilang-kilang yang seterusnya mengalir ke sungai yang berdekatan. Kebanyakannya sisa yang dibuang adalah dalam bentuk pepejal dan cecair. Selain itu, sikap manusia yang tidak bertanggungjawab menjadi punca kerana pengurusan sampah yang tidak efektif. Sebagai contoh, tidak mengasingkan sampah yang bertoksik dan juga tabiat membuang sampah merata-rata.

Penggunaan pestisid dan insektisid dalam aktiviti pertanian juga menjadi penyebab kerana ia mencemarkan sumber air. Di samping itu, pembuangan sisa minyak di laut pula menghalang sinaran matahari ke dasar laut lantas menutup sumber tumbuhan akuatik untuk menghasilkan makanan. Hal ini akan pastinya mengganggu ekosistem marin.

Sedar atau tidak banyak lagi punca akibat perbuatan manusia yang dapat disenaraikan. Hal ini secara dasarnya akibat sikap manusia yang mementingkan keuntungan diri sendiri dengan sanggup mengorbankan alam sekitar ini.

Maka, daripada rentetan ini telah meninggalkan kesan yang begitu ketara kepada manusia. Bukankah perkara itu membebankan manusia? Jadi, kesan ini terbahagi kepada dua iaitu kesan kepada alam sekeliling dan juga kesan kepada manusia. Pertama sekali adalah kesan kepada alam sekeliling. Antaranya ialah boleh menyebabkan pelupusan spesies flora dan fauna. Perkara ini amatlah merisaukan apabila pelupusan sebegini semakin berlaku dan boleh menyebabkan kesan yang lebih buruk kepada kita. Sebagai contoh, pelupusan spesies haiwan seperti harimau, gajah dan sebagainya yang disebabkan oleh perbuatan manusia dan juga pencemaran sebegini. Perkara ini boleh dibukti lagi apabila kajian Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) menyatakan bahawa dalam 100,000 hidupan marin mati setiap tahun akibat daripada pembuangan sisa toksik yang tidak sistematik ini.

Selain itu, pembuangan sisa toksik yang tidak teratur ini juga boleh mendatangkan kesan kepada manusia. Antaranya, boleh membahayakan tahap kesihatan manusia. Sebagai contoh, logam berat seperti merkuri boleh merosakkan otak dan ginjal serta menyebabkan kecacatan kepada bayi. Perkara ini juga boleh mendatangkan kesan yang lebih buruk jikalau dibiarkan begitu sahaja.

Walaubagaimanapun, kesan-kesan ini boleh diatasi jikalau ada suatu tindakkan daripada kita yang boleh membawa kebaikan kepada alam sekitar. Melalui program pendidikan, latihan dan maklumat pencemaran alam sekitar. Perkara ini boleh menjamin apabila adanya peribahasa pernah mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya. Konsep sebegini amatlah sesuai untuk mengatasi isu ini. Yang kedua adalah kita boleh mempertingkatkan sistem kawalan pencemaran negara bagi menyukarkan segelintir pihak yang cuba ingin mencetuskan pencemaran ini. Tindakan ini amatlah sesuai mengikut peredaran zaman pada masa kini.

Akhir kata, pencemaran ini boleh diatasi jikalau kita semua berganding bahu untuk membantu negara dalam membanteraskan mana-mana pihak yang cuba untuk mencetuskan pencemaran di negara kita. “Sayangilah Alam Semula Jadi”